Hari Komuniti Pintar Kemaman
Aktiviti Terkini | 22 Julai 2016Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman (PDTK) menganjurkan acara Hari Komuniti Pintar di Kemaman selama tiga hari bermula dari 22 Julai lalu, bertujuan untuk mempromosikan inisiatif Komuniti Pintar dalam membangunkan dan memanfaatkan ekosistem ICT dalam kalangan komuniti setempat.
Inisiatif yang telah diperkenalkan sejak awal 2015 itu bermatlamat untuk meningkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi komuniti tempatan serta membangunkan kandungan tempatan melalui platform teknologi dan maklumat (ICT) dan capaian kepada informasi yang lebih pantas lagi berkesan di samping merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
Acara itu turut mengetengahkan teras-teras utama di bawah inisiatif tersebut antaranya Sistem Pengurusan Banjir (FMS) yang memanfaatkan penggunaan ICT dalam mempertingkatkan lagi pengurusan banjir dan bencana di Kemaman serta Pusat Inovasi Kemaman (KIC) yang memberi kemudahan kepada komuniti untuk memperkembangkan kreativiti, inovasi dan ilmu keusahawanan. Selain itu, para penduduk setempat berpeluang mengunjungi gerai-gerai pameran yang disertai oleh pelbagai pihak seperti syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan, badan-badan forum di bawah MCMC dan gerai jualan pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Kemaman.
Perasmian Hari Komuniti Pintar Kemaman tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan disaksikan oleh Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie dan Pegawai Daerah Kemaman, Encik Rosman Roslan selaku peneraju utama tempatan Komuniti Pintar Kemaman.
Tarikh: 22/07/2016 - 24/07/2016
Tempat: Bersebelahan Taman Bandar Chukai, Kemaman
Jumlah yang hadir: Warga Kemaman
Masa: Bermula 9.00 Pagi
Kembali ke halaman utama